YAYASAN VFIVE TERUS PERHEBAT INISIATIF CSR SELARI DENGAN SASARAN KPI TAHUN 2022
Kuala Lumpur, 16 Jun 2022 : Organisasi tanggungjawab sosial korporat di bawah naungan VFive Group, Yayasan VFive terus rancak menjalankan program-program berkonsepkan kebajikan bagi membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.
Inisiatif-inisiatif ini adalah selari dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh syarikat Bumiputera berkenaan bagi memanfaatkan perbelanjaan CSR sebanyak RM8 juta pada tahun 2022. Pada Hari Raya Aidiladha yang akan tiba tidak lama lagi, Yayasan VFive telah berbesar hati menaja sumbangan korban 80 ekor lembu dengan kerjasama pengurusan masjid dan surau tempatan.
Di antara program bulanan yang secara konsistennya diadakan termasuklah Kembara Beras Amal yang mengagihkan 1,500 kampit beras kepada asnaf, sumbangan Gerobok Rezeki kepada 30 masjid dan surau, penajaan bil utililti bagi 12 Pusat Tahfiz, 5 Rumah Kebajikan, 6 masjid, 26 surau, 8 NGO serta sumbangan 1,000 pek Nasi Lemak setiap hari Jumaat di sekitar kawasan Pandan dan Lembah Klang serta bermacam-macam lagi.
Bukan itu sahaja, Yayasan VFive turut tidak ketinggalan untuk menyantuni golongan asnaf dan anak-anak yatim dengan penganjuran Program Shopping Riang Raya pada bulan Ramadan yang lalu. Menerusi program tersebut, Yayasan VFive telah menaja perbelanjaan mendapatkan kelengkapan baju raya buat setiap daripada mereka agar dapat sama-sama menyambut Aidilfitri dengan penuh sinar kegembiraan.
Aktiviti lain yang turut diadakan pada bulan Ramadan adalah Program Singgah Sahur berkonsepkan edaran juadah sahur kepada kakitangan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Balai Polis dan Balai Polis Trafik Pandan Indah yang bertugas di lewat malam.
Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group yang juga merupakan Pengasas Yayasan VFive, Datuk Hj Mohd Syafiq Hj Abdullah berkata, organisasi itu akan terus melipatgandakan lagi usaha-usaha untuk memberi nilai kepada masyarakat setempat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.
“Yayasan VFive sememangnya komited dalam mencapai KPI yang telah dirangka pada awal tahun untuk menyalurkan sumbangkan kebajikan berjumlah RM8 juta kepada mereka-mereka yang memerlukan”, ujarnya.
“Kita sangat yakin dan percaya bahawa konsep keberkatan adalah kunci utama kepada kejayaan dalam setiap apa yang dilakukan. Atas sebab itulah, kita jadikan kerja bakti, kebajikan dan sifat dermawan sebagai teras utama selaras dengan objektif penubuhan Yayasan VFive”, tambahnya lagi.
Melihat ke hadapan, Yayasan VFive seterusnya menyasarkan untuk membangunkan sebuah masjid di sekitar Lembah Klang dan kedai runcit berkonsepkan kebajikan, selain mewujudkan program kembara Yayasan VFive secara bersiri dengan kerjasama stesen televisyen.
Orang awam yang ingin turut serta menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi sumbangan kepada akaun bank Yayasan VFive yang bernombor 564016659068 (Maybank). Bagi sebarang pertanyaan dan cadangan bentuk kerjasama, amatlah dialu-alukan untuk menghubungi pengurusan Yayasan VFive agar lebih ramai komuniti boleh dibantu dan dapat merasai nikmat kehidupan yang lebih baik.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif sumbangan Yayasan VFive, sila layari laman Facebook Yayasan VFive.
0 comments
Write a comment