VFIVE GROUP PERHEBAT FOKUS DI SEKTOR PENGURUSAN FASILITI DAN PEMBINAAN BAGI TAHUN 2024

Kuala Lumpur: Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group akan terus meletakkan fokus bagi memperkasakan lagi dua portfolio perniagaan teras iaitu pengurusan fasiliti dan pembinaan pada tahun 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas, Datuk Hj Mohd Syafiq Abdullah berkata hala tuju berkenaan adalah satu langkah strategik ke arah mencapai sasaran perniagaan yang dirangka, di samping mengoptimumkan kepakaran yang dimiliki syarikat di dalam kedua-dua sektor tersebut. Beliau berkata, pihak syarikat menerima variasi maklum balas positif daripada pelanggan hasil daripada kejayaan perkhidmatan-perkhidmatan yang dilaksanakan sebelum ini dan berharap momentum berkenaan dapat dikekalkan pada 2024 serta tahun-tahun mendatang.

“Walaupun mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang, tetapi VFive Group akan terus meneliti setiap perkhidmatan yang diberikan agar aspek penambahbaikan dapat dilaksanakan secara konsisten”, katanya.

“Ini bagi memastikan syarikat dapat terus melaksanakan perkhidmatan yang terbaik dalam menjayakan setiap amanah yang dipertanggungjawabkan. Tambahan pula, persaingan di dalam industri ini semakin sengit dan kita perlu memastikan nilai tambah yang diberikan kepada pelanggan juga diperhebatkan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, antara langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan adalah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi ternama bagi memajukan aspek R&D dan pemindahan teknologi.

Dalam masa yang sama, VFive Group sehingga kini telah mencipta ratusan peluang pekerjaan terutamanya kepada bakat dan tenaga pakar tempatan hasil daripada perkembangan pesat yang berjaya dicapai syarikat dalam sektor pengurusan fasiliti dan pembinaan.

Perkembangan pesat itu adalah hasil usaha syarikat meningkatkan perniagaan teras ke arah daya tahan yang lebih kukuh, kestabilan hasil, memaksimumkan kecekapan operasi dan meningkatkan penggunaan tenaga kerja.

“Salah satu visi kami sejak ditubuhkan 11 tahun lalu adalah menyumbang kembali kepada masyarakat. Sebab itulah syarikat bergerak aktif membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan agar rezeki yang dijana dapat dikongsi bersama dan lebih ramai kelompok masyarakat dapat dibantu,” menurutnya.