YAYASAN VFIVE TEKAD BANTU GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK, PERLUASKAN SUMBANGAN KORBAN KEPADA SETIAP NEGERI

Kuala Lumpur, 28 Jun 2023 : Organisasi kebajikan di bawah naungan VFive Group Sdn Bhd, Yayasan VFive sentiasa bergerak aktif membantu masyarakat yang memerlukan dengan pelbagai inisiatif murni. Usaha tersebut diteruskan lagi pada perayaan Aidiladha tahun ini di mana Yayasan VFive telah memperuntukkan sumbangan hampir 250 ekor lembu untuk ditumbangkan bagi ibadah korban di seluruh Semenanjung Malaysia.

Melalui kerjasama dengan NGO, masjid dan surau yang terpilih di setiap negeri, hasil korban tersebut akan disedekahkan kepada golongan yang memerlukan dengan jumlah keseluruhan sumbangan korban adalah sekitar RM1.4 juta.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan VFive, Datuk Hj. Mohd Syafiq Abdullah menyifatkan sumbangan korban ini adalah salah satu usaha organisasi tersebut yang bertunjangkan matlamat untuk membantu masyarakat yang kurang bernasib baik.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana tahun ini kami dapat memperluaskan lagi sumbangan korban bagi setiap negeri di Semenanjung Malaysia. Semoga dengan asbab ini semakin ramai lagi umat Islam dapat bersama-sama menerima manfaat dan merasai nikmat kemeriahan
Aidiladha”, ujarnya.

“Insya-Allah, kami di Yayasan VFive menyasarkan untuk melipatgandakan lagi sumbangan korban Aidiladha ini di masa-masa akan datang. Mohon jasa baik anda semua untuk terus mendoakan kejayaan kami agar segala inisiatif-inisiatif kebajikan yang dirancang akan dapat direalisasikan”,
tambahnya lagi.

Yayasan VFive sememangnya memegang sepenuh keyakinan bahawa ibadah korban bukanlah semata-mata tentang penyembelihan sahaja tetapi juga merupakan wadah meningkatkan semangat berkongsi rezeki, keprihatinan dan ibadah kepada Allah SWT. Inilah prinsip yang menjadi pegangan Yayasan
VFive dalam mengimarahkan sambutan Aidiladha kali ini.

Bagi orang ramai ataupun mana-mana pihak yang ingin menjalinkan kerjasama atau mendapatkan informasi lanjut mengenai inisiatif-inisiatif Yayasan VFive, boleh berbuat demikian dengan melayari laman media sosial Yayasan VFive serta menghubungi talian 011-3330 1889.