YAYASAN VFIVE TERUS KONSISTEN BANTU GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK MELALUI INISIATIF ‘FIVEUNEED’

Kuala Lumpur, 27 Mei 2023 – Organisasi kebajikan di bawah naungan VFive Group, Yayasan VFive terus rancak mempergiatkan usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menyumbang serta membantu masyarakat setempat yang kurang bernasib baik terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Inisiatif tersebut diteruskan menerusi penganjuran program FiveUNeed di Pangsapuri Mega Indah, Ampang baru-baru ini. Program FiveUNeed merupakan satu bentuk bantuan berkonsepkan kebajikan, di mana setiap penerima boleh memilih lima barangan keperluan asas secara percuma daripada pelbagai pilihan yang disediakan. Antara barangan yang boleh dipilih termasuklah pek beras 5 kg, tepung gandum, garam, pek bawang, pek mi segera dan bermacam-macam lagi.

Pengasas dan Pengerusi Yayasan VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, “Program ini kita laksanakan bertujuan untuk memberi bantuan keperluan asas yang signifikan kepada masyarakat setempat yang memerlukan”, ujarnya.

“Seperti kita sedia maklum, harga barangan di pasaran semakin meningkat, jadi diharapkan inisiatif seperti ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban kos sara hidup yang perlu ditanggung”, tambahnya lagi.

Yayasan VFive turut bekerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Mega Indah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program ini serta memaksimakan impaknya kepada setiap penerima. Dianggarkan seramai lebih kurang 300 orang asnaf, ibu tunggal dan isi keluarga yang kurang berkemampuan di kawasan berkenaan telah menerima manfaat daripada program FiveUNeed yang dianjurkan secara dua sesi iaitu sesi pagi dan petang.

“Insya-Allah, lokasi sumbangan FiveUNeed ini akan berpindah setiap bulan di sekitar Kuala Lumpur bagi memperluaskan lagi jangkauan penerima, agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat kita sama-sama bantu”, katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai lokasi program FiveUNeed yang akan dianjurkan seterusnya dan juga inisiatif-inisiatif lain oleh Yayasan VFive, boleh melayari laman media sosial Yayasan VFive atau menghubungi talian 011-5529 8880.